Apabila Bodhisattva Avalokitesvara mendalami Prajñāpāramitā, beliau menyinari skandha, mendapati kesemuanya kosong dan mengatasi segala kesengsaraan.
Wahai Shariputra, rupa tiada bezanya dengan kekosongan, kekosongan tiada bezanya dengan rupa. Rupa adalah kekosongan dan kekosongan adalah rupa. Begitu juga perasaan, tanggapan, pemaduan dan pengetahuan.
Wahai Shariputra, segala kejadian bercirikan kekosongan. Tidak dicipta mahupun dimusnah, tidak kotor mahupun murni, tidak bertambah mahupun berkurang.
Maka Shariputra, dalam kekosongan tiada rupa, perasaan, tanggapan, pemaduan mahupun pengetahuan. Tiada mata, telinga, hidung, lidah, tubuh mahupun fikiran. Tiada rupa, bunyi, bau, perisa, sentuhan, mahupun kejadian. Tiada lingkungan penglihatan hinggakan tiada lingkungan pemikiran dan pengetahuan. Tiada kejahilan, juga tiada pengakhiran kejahilan. Hinggakan tiada penuaan dan kematian, juga tiada pengakhiran penuaan dan kematian. Tiada kesengsaraan, punca kesengsaraan, penghapusan kesengsaraan, mahupun cara menghapuskan kesengsaraan. Tiada pemahaman, juga tiada pencapaian.
Kerana tiada apa-apa untuk dicapai, hati bodhisattva tidak dikongkong kerana bersandarkan Prajñāpāramitā. Kerana hati tidak dikongkong, maka tiada ketakutan, mengatasi khayalan songsang dan akhirnya, nirvana. Semua buddha dari tiga zaman bersandarkan Prajñāpāramitā untuk mencapai kesedaran sempurna.
Ketahuilah bahawa Prajñāpāramitā merupakan mantera agung, mantera pemahaman agung, mantera gemilang, mantera yang tiada tolok bandingan. Mampu menghapuskan segala kesengsaraan, benar dan tidak berbohong. Lafazkan mantera Prajñāpāramitā sebegini, "Gate Gate Parasamgate Bodhi Svaha".